Berita tergempar diterima hari ini, sungguh mengejutkan dan tamparan hebat buat kerajaan Barisan Nasional bila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga
"undang-undang" meletakkan jawatannya. Menteri berkenaan yang dilantik memegang jawatan itu setelah diangkat sebagai Senator oleh Pak Lah. Zaid Ibrahim berbuat demikian pada kira-kira pukul 2.00 petang tadi Beliau dikatakan berbuat demikian kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang masih menggunakan Akta Zalim ISA untuk menakut-nakutkan rakyat. ISA sepatutnya digunakan untuk menahan pengganas
"komunis" atau
"pengganas" dulu, kini telah dijadikan
"alat" untuk mempertahankan pemerintah. Sebagai seorang peguam yang berwibawa, tindakan kerajaan yang langsung tidak mendengar nasihat itu jelas sekali bertentangan dengan prinsip dan amalan demokrasi di negara ini. Beliau juga berharap agar perkara ini dapat diperbetulkan segera. Negara katanya mempunyai undang-undang yang cukup untuk mendakwa mana-mana individu yang didapati bersalah dalam apa jua kesalahan termasuk
"isu perkauman" seperti yang dinyatakan. Kerajaan ada berbagai akta berkaitan untuk mendakwa individu terbabit. Namun mengapakah akta zalim ISA yang sudah
"kuno" dan
"lapuk" itu digunakan!. Bukankah ini jelas menunjukkan yang kerjaan sudah semakin takut dengan kebangkitan rakyat.
Zaid Ibrahim berbuat demikian, susulan daripada penangkapan terbaru ISA yang melibatkan Raja Petra Kamaruddin (Blogger), YB Teresa Kok (Exco Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh) dan juga seorang wartawan dari akhbar Cina Sin Chew Daily, Tan Hon Cheng. Bagaimana pun Tan dibebaskan beberapa jam kemudian. Teresa dan Raja Petra masih terus ditahan biarpun mendapat bantahan daripada semua pihak termasuk pemimpin UMNO sendiri. Menurut Zaid beliau merasakan sememangnya isu ISA ini amat menghantui rakyat Malaysia. Tindakan kerajaan menggunakan ISA dengan sewenang-wenangnya jelas sekali mencabuli kebebasan dan hak-hak asasi manusia. Justeru itu beliau sudah hilang kepercayaan lagi untuk terus menerajui portfolia Menteri Undang-Undang itu. Jika pandangannya tidak diterima oleh pucuk pimpinan, maka apatah lagi pandangan rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan sewajarnya.
Zaid sebelum ini juga mengejutkan semua pihak kerana mencadangkan supaya Muhyiddin Yassin Menteri MITI, meletakkan jawatannya atau disingkirkan jika beliau sudah hilang kepercayaan kepada Pak Lah selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Ini berikutan tindakan Muhyiddin mengkritik serta mempertikaikan
"Pelan Peralihan Kuasa" yang dilihat sudah tidak relevan lagi dengan isu-isu semasa yang berlaku sekarang. Sebelum ini Pak Lah telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Najib Razak pada tahun 2010. Muhyiddin melihat masa itu terlalu lama dalam keadaan UMNO yang semakin
"nazak" sekarang. Susulan daripada itulah Zaid dilihat mempertahankan Pak Lah dan mempertikaikan Muhyiddin. Namun media arus perdana hari ini menyiarkan berita bahawa Muhyiddin tidak akan meletakkan jawatan dan tetap pertahankan prinsipnya dan kenyataannya itu.
Mungkin akibat kecewa dan
"berpegang" kepada prinsipnya, maka akhirnya Zaid Ibrahim mengambil keputusan untuk beliau sendiri meletakkan jawatan. Mungkin ini bagi membuktikan beliau sebagai
"anak jantan" dalam hal ini. Baginya tindakan beliau itu mungkin meerupakan satu sindiran buat Muhyiddin yang masih tidak mahu meletakkan jawatan biarpun sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti karat itu. Maka perletakkan jawatan Zaid ini membuktikan kepada kita bahawa kerajaan BN dan UMNO terutamanya kini semakin
"parah" dan sukar untuk diselamatkan lagi. Bukan sahaja pemimpin kaum lain dalam BN yang kecewa dengan UMNO, malahan juga pemimpin mereka sendiri. Apakah ini bererti riwayat UMNO akan berakhir sedikit masa lagi.
Apapun, rakyat yang cintakan demokrasi mengucapkan syabas dan tahniah atas prinsip yang dipegang oleh Zaid Ibrahim itu. Biarpun sebelum ini beliau dilihat sebagai menteri yang akan menyelamatkan UMNO dalam hal-hal perundangan. Namun sudah tiba masanya orang-orang seperti Zaid itu melihat kebenaran dan keadilan. Amat tidak wajar sama sekali kita menganiaya dan menzalimi sesama manusia dengan satu hukum yang kuno seperti ini. Mungkin selepas ini ramai lagi menteri dan ahli parlimen UMNO dan BN yang akan mengikuti jejak langkah Zaid Ibrahim. Semoga semua ini bakal menjadi satu petanda bahawa hasrat untuk perubahan dan pembentukan kerajaan baru bakal tercapai, bagi kita menyelamatkan agama, bangsa, rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini.
jaringan pahangdaily.blogspot.com
1 comment:
Penatlah..
Mcm tak sedar je :-(
Maaf!! Politik saya ‘kantoi’
>> http://pro-faizal.blogspot.com
Post a Comment