Tuesday, December 21, 2010

UMNO SEMAKIN GELABAH DENGAN KETERBUKAAN KARPAL SINGH

Negara Islam: Nik Aziz ucap tahniah pada Karpal
Harakahdaily

KOTA BHARU, 21 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pemimpin veteran DAP, Karpal Singh yang terbuka untuk berbincang isu negara Islam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, merakamkan ucapan tahniah itu melalui satu kenyataan di sini hari ini.

“Mudah-mudahan dengan pendirian terbaru itu, YB Tuan Karpal Singh akan mendapat hidayah daripada Allah S.W.T. untuk menerima Islam sebagai satu sistem yang adil untuk semua kaum dan sesuai dipakai dalam politik Malaysia,” katanya.

Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas kelmarin berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.

Tuan Guru Nik Aziz dan Karpal, dua tokoh politik Pakatan Rakyat yang sebelum ini dilihat bertembung dalam isu negara Islam dan dieksploitasi sepenuhnya media pro Umno.

Karpal sebelum ini pernah menyebut kepada PAS agar 'langkah mayat beliau dahulu jika PAS bertegas mahu meneruskan hasrat membina Malaysia sebuah negara Islam.

Manaka Tuan Guru Nik Aziz pula dalam responnya kepada Karpal sebelum ini, mahu ahli parlimen Bukit Gelugor itu menyatakan di mana salahnya dengan Islam itu.

Dengan penegasan terbaru Karpal itu, media pro Umno kini dilihat hilang punca sekaligus menamatkan isu tersebut dari terus dimanipulasi mereka.

No comments: